Sunday, March 8, 2009

Wasiat ke-7 Al-Banna, elakkan bercakap nyaring

Fahri Abdullah al-Masri
Sat | Feb 21, 09 | 11:57:02 pm MYT
Jangan bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh
pendengar kita. Demikianlah antara wasiat Imam Hasan al-Banna.

Percakapan yang nyaring dan kuat banyak mengundang
masalah seperti mengundang kemarahan orang dan menyuburkan takbur di
hati para penceramah dan pendakwah itu sendiri.

Dalam hal ini, seorang bapa yang bijaksana, Luqman al-Hakim menasihatkan anak-anaknya sebagai berikut:-

"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata) , sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai." [Luqman: 19]

Justeru, menjadi tanggungjawab ibu bapa menasihatkan anak-anak mereka
agar tidak meninggikan suara ketika berbual bersama teman-temannya. Ini
kerana, hal meninggikan suara itu boleh menimbulkan pergaduhan.

Hal kesantunan bicara ini turut disentuh dalam buku bertajuk Cinta Di Rumah Hasan Al-Banna yang memperihalkan kehidupan rumahtangga Al-Banna sendiri.

Di dalam satu bab, pernah dikupas perihal tiadanya suara-suara yang keras dan nyaring dalam keluarga beliau.

Semua ini menunjukkan bahawa Hasan al-Banna telah merintis jalan teori
dan melaksanakan amalinya dalam keluarganya sendiri. Maka di sini,
al-Banna benar-benar telah menjadikan wasiat Luqman al-Hakim itu
sebagai panduannya.

Sikap nabi-nabi yang bersikap lemah-lembut kepada pihak yang didakwah juga patut diberikan perhatian..

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah
(kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka
(sahabat-sahabat) , dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati,
tentu mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai
kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi
mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan
dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam
(sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada
Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal
kepadaNya. [Ali Imran:159]

Demikian juga ketika diperintahkan kepada Musa a.s dan Harun a.s untuk berdepan dengan kezaliman Fir'aun.
"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut." [Taha: 44]

Jangan nyaring berwirid
Malah dalam hal yang berkaitan dengan wirid, ratib dan zikir sekali
pun, Allah s.w.t menyeru kita supaya meratibkannya dengan rendah dan
tidak nyaring.

Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan
merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya) , dan
dengan tidak pula menyaringkan suara pada waktu pagi dan petang dan
janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai. [Al-'Araaf: 205]

Mungkin, dengan berzikir dalam senyap, hal ini tidak diketahui orang
lain dan dengan itu, kita terselamat daripada bahaya riyak, penyakit
'ujub dan sum'ah.

Lantas, timbul persoalan baru mengenai amalan tarekat yang berzikir,
meratib beramai-ramai sehingga tinggi dan nyaring pula suara mereka.
Maka, bagaimanakah kedudukan ratib, zikir mereka ini?

Dalam hal latihan kerohanian, hal-hal seumpama itu dibenarkan,
diharuskan dengan sebab melatih murid-murid untuk berzikir. Ini kerana,
bagi sesetengah orang, penumpuan untuk berzikir itu sangat sukar kerana
mereka terlalu banyak berkhayal mengenai kenikmatan dan kelazatan
duniawi sebelum ini.

Maka, hal-hal yang seumpama itu tiada salahnya atas tujuan latihan.
Mungkin, apabila tiba waktunya, mereka akan diminta meneruskan wirid
dengan perlahan-lahan di tempat suluk mereka sendiri. Wallahu'alam. .

Jangan keraskan suara di depan guru
Perihal keburukan suara yang nyaring ini telah dibangkitkan oleh Allah
s.w.t dalam al-Quran, di mana hal itu termasuk dalam perkara-perkara
yang bercanggah dengan adab bersama Rasulullah s.a.w.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu
melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan
lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu
menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain.
(Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya,
sedang kamu tidak menyedarinya.

Sesungguhnya
orang-orang yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi
Rasulullah, - merekalah orang-orang yang telah dibersihkan Allah hati
mereka untuk bertaqwa; mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.
Sesungguhnya orang-orang yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat
ahlimu, wahai Muhammad), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan
tatatertib).

Dan kalaulah mereka bersabar menunggu sehingga engkau keluar menemui
mereka, tentulah cara yang demikian lebih baik bagi mereka; dan
(ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Al-Hujurat: 2-5]

Timbul persoalan lain, baginda Rasulullah s.a.w tidak lagi berada di
sisi kita. Betapalah kita akan mengangkat suara dan menyaringkan suara
kepada baginda? Maka, dalam hal ini, ingatlah pengertian hadis yang
bermaksud, "Golongan ulamak itu adalah pewaris kepada para nabi."

Adapun guru-guru itu, orang-orang tua yang bijaksana dan mereka yang
selalu dilihat sebagai orang yang berpengetahuan dalam memberikan
tunjuk ajar dan bimbingan kepada kita, kepada bangsa kita dalam hal-hal
agama, mereka itu penggalas amanah Rasulullah s.a.w. Kepada mereka,
janganlah kita mengeraskan suara kita.

Rendahkan suara di depan ibu bapa

Maka, termasuk dalam kalangan manusia yang mesti kita rendahkan suara terhadap mereka, ialah ibu bapa kita sendiri.
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah
melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik
kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya
sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka
janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar)
sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah
mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang
bersopan santun).

Dan hendaklah engkau merendah diri
kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah
(untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada
mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya
memelihara dan mendidikku semasa kecil." [Al-Isra': 23-24]

Melakukan amal kebaktian kepada ibu bapa adalah jalan termudah
mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Dalam hubungan ini, baginda
Rasulullah s.a.w bersabda:-

"Syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu." dan sabda baginda lagi;
"Keredhaan Allah itu terletak di atas keredhaan Allah s.w.t."
Sesetengah pihak melihat keredhaan Allah itu didapati lewat
zikir-zikir, wirid-wirid sebagai yang disebut mereka dalam munajat,
"Ilahi anta maqshudi, wa ridhaka mathluubi - Tuhanku Engkaulah
matlamatku dan aku menuntut keredhaanMu. "

Tetapi, ada yang bersikap kasar, bengis dan mengeraskan suaranya kepada
ibu bapa. Adakah kita termasuk dalam golongan yang berhak mendapat
keredhaan Tuhan? Sekali-kali tidak! Kita perlu hormat ASAL-USUL (ibu
bapa) bagi mendapatkan redha YANG PALING ASAL, YANG PALING AWAL (Allah
s.w.t).

Demikian juga hubungan antara Rakyat dan Pemerintah. Pemerintah berasal
daripada rakyat. Maka pemerintah yang diredhai pemerintahannya adalah
pemerintah yang menghormati rakyat dengan memansuhkan ISA, PPSMI, Auku
dan segala undang-undang yang meresah-gelisahkan hati rakyat.

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah
(kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka
(sahabat-sahabat) , dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati,
tentu mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai
kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi
mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan
dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam
(sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada
Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal
kepadaNya. [Ali Imran:159]

Apabila rakyat tidak meredhai pemerintahan pemerintah, maka Allah s.w.t
tidak meredhai pemerintahan mereka itu. Sebab itulah timbul banyak
kekacauan dan semua itu adalah petanda, sindrom kepada pemerintahan
yang tidak diredhai Tuhan. Oleh itu, banyakkan meminta ampun bagi pihak
rakyat dan jangan bersikap kasar dengan rakyat.

Seperti mana anak mesti hormatkan ASAL-USUL (ibu bapa) untuk mendapat
redha Tuhan, maka demikianlah pemerintah mesti hormatkan ASAL-USUL
(rakyat) untuk mendapat restu Allah dalam pemerintahan mereka.

Jika seorang anak itu berbicara dengan baik kepada ibu bapanya sebagai
tanda hormat dan mendapat redha Tuhan, demikian pemerintah jangan
berbicara dengan keras dan nyaring kepada rakyat dengan mengugut dan
mengancam mereka dengan jentera kerajaan seperti polis, tentera dan
sebagainya.

Diriwayatkan, pernah suatu ketika, seorang anak muda mendaftar diri
untuk pergi berperang ke medan jihad. Rasulullah s.a.w merenung wajah
anak muda itu dengan pandangan kasyafnya.

"Anak muda, jelaskan kepadaku bagaimana keadaan orang tuamu tatkala kamu keluar daripada rumahmu tadi," kata baginda.
"Ya Rasulullah, hamba mesti beritahu kepadamu bahawa dengan
sesungguhnya aku ingin syahid di jalan Allah. Tetapi kedua orang tuaku
menangis, meminta aku tidak pergi berperang kerana aku satu-satunya
anak tunggal mereka."

"Engkau mendapat pahala. Sekarang.. dengan perintah Rasulullah,
kembalilah ke rumah. Gembirakanlah hati kedua-dua ibu bapamu," demikian
baginda memutuskan.

Maka, pulanglah si anak muda itu dan gembiralah kedua-dua ibu bapanya.
Anak muda tadi telah beroleh pahala sekali gus mendapat keredhaan Allah
di rumahnya dan bukan di medan jihad.

Sementara itu, Nabi Ibrahim a.s adalah antara contoh anak yang menyeru
bapanya, Aazar (pembuat patung berhala) ke arah jalan Tauhid dengan
baik dan tabah hati.

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar:
"Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan?
Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata." [Al-An'aam:74]
Malah, baginda telah mendoakan kebaikan kepada ayahnya sendiri, walhal tindakan itu dilarang agama..

Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta
ampun bagi orang-orang musyrik sekali pun orang itu kaum kerabat
sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu
adalah ahli neraka.

Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim
bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan
kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya
musuh bagi Allah, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi
Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar. [Surah at-Taubah: 113 - 114]

Disebutkan di situ, ada dua nilai yang menyebabkan baginda bersikap
baik kepada orang tuanya. Pertama, baginda lembut hati dan bersikap
penyabar. Hal inilah yang mesti hadir dalam jiwa seorang anak yang mahu
keredhaan Tuhan dengan cara melakukan kebaikan kepada orang tuanya.

Maka, hal bercakap nyaring kepada orang-ramai, menjerkah dengan
marah-marah, bersuara dengan keras tidak melambangkan kelembutan hati
seseorang pendakwah itu. Demikianlah jika kita mahu laksanakan pesan
dan wasiat Imam Hasan al-Banna.

0 comments:


Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com and Ford Cars. Powered by Blogger