Monday, January 11, 2010

Pengurusan kewangan Islam

11 Nov 2009


PENGURUSAN dan perancangan adalah suatu yang amat mustahak dalam semua urusan kehidupan lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan harta atau kewangan. Kegagalan mengurus dan merancang sebenarnya seseorang itu mengurus dan merancang untuk kegagalan. Kegagalan merancang harta atau kewangan dengan bijak dikenal pasti antara punca mudahnya seseorang itu terperangkap dengan pelbagai masalah dalam kehidupan.

Seseorang yang mempunyai perancangan dalam menguruskan kewangannya akan memperoleh gambaran yang jelas tentang kedudukan kewangan terkininya, memberi hala tuju yang tepat mengenai matlamat kewangan yang ingin dicapai yang akhirnya akan membolehkan seseorang itu mencapai matlamat yang diharapkan secara lebih efektif.

Islam sebagai agama yang sempurna mengajar umatnya agar sentiasa mempunyai perancangan dalam menguruskan hal ehwal kehidupan mereka. Hal ini dapat dilihat menerusi al Quran dan sunnah. Antaranya firman Allah dalam surah Yusuf ayat 67.

Pengajaran daripada ayat di atas antara lain ia menyentuh tentang persoalan perancangan di mana Allah menjelaskan bahawa dalam menguruskan kehidupan jangan bergantung kepada satu pendekatan semata-mata tetapi perlulah mempelbagaikan pendekatan dan strategi. Dan setelah segala persiapan dan perancangan dilakukan maka hendaklah bertawakal kepada Allah.

Ayat 47-48 di dalam surah yang sama Allah menegaskan pentingnya perancangan sebelum menghadapi atau melakukan sesuatu malah perlu bijak dalam menguruskan kehidupan agar tidak susah di kemudian hari.

Di dalam ayat 9, surah al-Nisa' juga Allah tegaskan perkara yang sama bahawa perlunya mempunyai perancangan untuk masa depan keluarga dan hendaklah bijaksana dalam menguruskan harta/kewangan. Sebagaimana dalam surah al Hasyr ayat 18.

Ayat ini cukup jelas menyentuh tentang kepentingan perancangan dalam kehidupan, kerana masa depan bergantung kepada perancangan kita hari ini selain daripada ketentuan Allah.

Harta dalam Islam

Dalam Islam mengurus dan membelanjakan harta adalah antara amanah Allah. Ia adalah satu keperluan yang bertujuan mencapai kehidupan yang diberkati. Perspektif yang tepat terhadap harta akan memastikan seseorang itu mencapai bahagia di dunia dan di akhirat menerusi hartanya.

Harta mempunyai kedudukan yang sangat mulia di sisi Islam. Islam menggalakkan umatnya memiliki, menghasil dan menggunakan harta dengan baik dan bijaksana.

Dari kaca mata Islam, harta adalah alat untuk menjamin keselesaan hidup manusia di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Ia juga merupakan wasilah untuk mencapai takwa. Allah juga menganugerahkan harta kepada manusia untuk menguji manusia itu sama ada bersyukur atau sebaliknya sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam surah al-Munafiqun ayat 9.

Di samping mengajar manusia agar mempunyai perspektif yang jelas terhadap harta, Islam juga mengajar manusia agar mempunyai pandangan yang betul terhadap kehidupan. Hal ini penting bagi memastikan kehidupan mereka bermatlamat dan arah tuju yang jelas.

Islam menggariskan agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh untuk membangun dan membina kehidupan yang bahagia dan harmoni. Ini dijelaskan dalam surah Hud ayat 61.

Islam juga menyeru agar menjadikan kehidupan ini dapat memberi manfaat kepada orang lain sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu adalah yang paling banyak memberi manfaat".

Di dalam ajaran Islam, dunia adalah tempat sementara yang hanya sebagai jambatan untuk ke akhirat, dunia sebagai tempat bercucuk tanam dan akhiratlah tempat untuk menuainya. Walaupun dunia bersifat sementara, Islam dengan pelbagai kaedah dan pendekatan mengajar umat manusia supaya mempunyai status sosial dan ekonomi yang baik.

Oleh itu, Islam memerintahkan supaya harta dan kehidupan diuruskan dengan baik dan bijaksana. Jika sebaliknya ia akan menjadi faktor keruntuhan manusia dan kemurkaan Allah seperti dalam surah Saba' ayat 15 - 16 dan surah al-Nisaa' ayat 10 dan 161.

Konsep pengurusan harta

Secara umumnya ada lima aspek atau elemen utama pengurusan harta secara Islam. Pertama, Penghasilan Harta (Wealth Creation). Sebagai seorang Muslim yang sejati, Islam menggalakkan umatnya mencari harta dan tidak hanya pasrah pada qada' dan qadar seperti di dalam surah al-Juma'ah ayat 10.

Kedua, Pengumpulan Harta (Wealth Accumulation) atau dengan erti yang lain bermaksud pengembangan harta. Adalah tidak wajar jika harta yang kita ada disimpan begitu saja tanpa mengembangkannya. Pengembangan harta boleh dilakukan melalui simpanan dan pelaburan di institusi kewangan.

Malah Islam menggalakkan umatnya untuk membuat simpanan serta melaburkannya sebagaimana dalam surah Yussuf ayat 47-48.

Ketiga, Perlindungan Harta (Wealth Protection). Setiap manusia harus mempunyai matlamat dalam kehidupan dan pasti salah satu daripadanya ialah untuk dapat kehidupan yang selesa dan terjamin dari segi kewangan sepanjang hidup. Sebagai jaminan hidup di dunia ini selain mempunyai simpanan dan harta yang mencukupi, diri kita dan harta kita juga harus dijaga daripada sebarang musibah dan perkara-perkara yang tidak diingini.

Keempat, Pengagihan Harta (Wealth Distribution). Islam memperuntukan beberapa cara atau kaedah untuk pengagihan harta sebelum atau selepas mati. Antara instrumen perancangan harta adalah wakaf, wasiat, hibah dan sebagainya.

Kelima, Penyucian Harta (Wealth Cleansing). Sebagai seorang Muslim kita tidak sewenang-wenang membelanjakan atau mempergunakan mengikut kehendak dan hawa nafsu. Ini kerana setiap harta ada hak-hak yang tertentu untuk dibahagikan seperti berzakat dan amal jariah kita seperti sedekah. Ini terbukti dalam surah al-Baqarah ayat 195.

Pengurusan kewangan Islam

Pengurusan kewangan yang bijak itu adalah yang dapat mengimbangi perbelanjaan dan pengurusan hutang, pelaburan yang mengikut syariah dan pendapatan yang mendapat keberkatan. Perlu diingatkan bahawa merancang dan mengurus ini merupakan sunnah.

Dari sudut semasa, industri perancangan kewangan telah lama wujud di Malaysia tetapi bukan dalam bentuk satu disiplin profesional seperti yang ada sekarang. Diperakui oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) sejak tahun 2004 apabila SC menjadikan perancangan kewangan sebagai satu aktiviti yang memerlukan lesen.

Perancangan kewangan adalah satu aktiviti yang dikawalselia oleh undang-undang. Individu yang ingin menjadi "Perancang Kewangan Bertauliah" perlu mendapat lesen daripada SC (Jadual 2, Capital Markets and Services Act 2007).

Secara lebih mendalam, perancangan kewangan itu merujuk kepada 'Perancang Kewangan' sebagai "seseorang yang membuat analisis kedudukan kewangan individu lain dan mencadangkan perancangan pelan kewangan agar individu berkenaan mencapai matlamat dan objektif kewangannya." (Suruhanjaya Sekuriti).

Secara ringkas, perancangan kewangan Islam itu ialah "satu proses di mana matlamat kewangan keseluruhan individu digunakan untuk membangun dan melaksanakan pelan yang holistik untuk mencapai matlamatnya yang mematuhi syariah dan akhirnya mendapat keberkatan daripada Allah" (Mahadzir Ahmad, majalah VISI, Bilangan 95)

Perancangan kewangan yang didasarkan kepada Islam matlamat akhirnya menjadikan aspek kewangan sebagai satu wasilah mencapai hasanah di dunia dan di akhirat. Justeru, untuk memastikan matlamat ini dapat dicapai maka pelan perancangan perlu mengambil kira perbelanjaan untuk kemaslahatan sendiri seperti keperluan jasmani dan rohani, perbelanjaan untuk kemaslahatan orang lain seperti nafkah, sedekah dan juga perbelanjaan untuk kemaslahatan umum seperti membina masjid, hospital dan sebagainya.

Secara yang lebih sistematik perancangan kewangan dari perspektif Islam perlu mengambil kira komponen-komponen berikut; pengurusan kredit dan aliran tunai, pengurusan risiko dan perancangan takaful, perancangan pelaburan Islam, perancangan zakat dan cukai , perancangan persaraan dan perancangan harta pusaka dan wakaf.

Secara umumnya, ada dua aspek utama yang dititikberatkan oleh Islam dalam hal-hal yang bersangkutan dengan pengurusan harta, iaitu bagaimana harta itu diperoleh. Ia mestilah menerusi kaedah pemilikan yang sah dan jual beli, pelaburan secara Islam, hadiah dan sebagainya.

Aspek kedua adalah bagaimana harta itu dibelanjakan, sama ada untuk kebaikan ataupun untuk perkara-perkara yang dilarang Allah. Perkara ini dapat dilihat menerusi sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak akan berganjak kedua-dua kaki anak adam pada hari kiamat sehingga ditanya tentang umurnya pada apa ia dihabiskan, tentang usia mudanya pada apa digunakan dan tentang hartanya dari mana ia diperoleh dan bagaimana ia dibelanjakan dan tentang ilmunya pada apa ia diamalkan?"

Oleh itu, aspek utama yang perlu diambil kira di dalam perancangan kewangan Islam adalah memperoleh keberkatan. Harta yang melimpah ruah tidak membawa apa-apa erti jika tidak ada padanya keberkatan, malah harta boleh menjadi fitnah, boleh menjadikan seseorang itu sentiasa berasa tidak cukup sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuklah rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

Keberkatan

Sebaliknya, harta yang berkat walaupun sedikit akan membawa ketenangan dan memberikan kesan yang baik dalam segenap kehidupan.

Keberkatan bermaksud mendapat restu, keredaan atau rahmat dari Allah SWT. Bagi mendapat keberkatan dan rahmat tersebut, sewajarnya kita mematuhi serta mentaati setiap perintah Allah.

Namun keberkatan boleh hilang jika melakukan perkara yang menyalahi apa yang digariskan oleh Allah SWT seperti terlibat dengan riba dan melakukan dosa serta mengabaikan solat.

Kesimpulannya, untuk menikmati kehidupan yang selesa dan bahagia kita perlulah mempunyai perancangan kewangan yang sempurna.



Utusan Malaysia

Wednesday, December 2, 2009

pilih barangan buatan malaysia.. ok what..


(gambo: bawak budak gi ikut ayah dorang kursus kat Morib.. best gak tpt nih)

aku cuti lama.. cuti dari tulih blog. biarlah rehat kejap. so many things happening during the gap. mmm. weeks of variety of activities.. TAPI by end of the day, things kena review. Pasalnye, di manakah hasilnya? Ada di tahap manakah pencapaian anda? Keadaan adalah berbeza sekarang, u are no longer employed. U are now on ur own. So bear in mind, every step taken, result adalah sangat penting! Anor! Wake up!


"Ya Allah, sesungguhnya aku mohon kepada Engkau agar Engkau hilangkan daripadaku segala kesusahanku dan Engkau ampunkan segala dosa2 ku dan Engkau kurniakanku rezeki dari sumber yang tidak kusangka2." Amiin..


Ramai org yang aku jumpa, banyak lah pulak ragam masing2. One conclusion, , banyak pulak org meng-agungkan barangan luar.. pilihlah barangan tempatan.. banyak eloknya. Trust me. Dulu2 aku pakai gak produk2 utk kulit, muka etc mcm Maybelline, loreal dsb. Masa tu tak pikir, tengok iklan kat tv cam best jek, model lak lawa2.. kira boleh ikut lawa camtu gak ker kalu pakai..?? takdenyer! In the end, abih duit kat situ jek..dahler mahal. Alih2 dpt tau dia punya raw material drp usus la, uri la.. uwekkkk...


So beralihlah kita ke barangan HALAL buatan asia/ kalu pun bukan brg tempatan.. at least kita support brgn rantauan kita kan..murah le jauh harganyer! So, now sama lah jugak, tak kira brgn aper, skg baru i sedar, byk brgn local yg jauh lagi elok, lagi murah, lagi ada pemantauan HALAL.. itu sgt penting! Sabun mandi ngan sabun basuh pun dah ada yg halal!


Thursday, September 3, 2009

Ilmu Ikhlas

"Mari kuajarkan kamu tentang ikhlas," kata seorang guru kepada muridnya.

"Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya."

"Tak payah, bawa sahaja karung guni."

"Karung guni?" soal anak muridnya, seperti tidak percaya.

"Mari kita ke pasar!"

Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.

"Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu,"kata guru itu memberi arahan.

Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.

"Cukup?"

"Belum. Isi sampai penuh karung guni itu."

Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa. Berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar.

"Tuan guru, kita tidak beli apa-apa?"

"Tidak. Bukankah karung gunimu telah penuh?"

"Ya, ya...." kata si murid, agak kelelahan.

"Banyak beli barang," tegur seorang kenalan apabila melihat mereka dengan guni yang kelihatan berat itu.

"Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya! Banyak sungguh barang yang mereka beli,"kata seseorang .

"Agaknya, mereka hendak buat kenduri besar kot, "kata yang lain pula.

Sebaik kembali ke tempat tinggal mereka, si murid meletakkan guni yang penuh berisi batu-batu tadi. "Oh, letih sungguh.... apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni tuan guru?"

"Tak buat apa-apa."

"Eh, kalau begitu letih sahajalah saya, "balas anak murid.

"Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas."

"Ikhlas?" Si murid kehairanan.

"Kamu dah belajar apa akibatnya tidak ikhlas dalam beramal."

"Dengan memikul batu-batu ini?"

"Ya, batu-batu itu umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan, tetapi hanya batu-batu."

"Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?"

"Ya, hanya berat sahaja yang ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat, hanya penat."

"Ya, sekarang saya faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas!" ujar sang murid.

Pengajaran: Ramai manusia tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian. Padahal kata-kata pujian hakikatnya hanya menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka. Rugi benar orang yang tidak ikhlas, terseksa di dunia, terseksa di akhirat.

Sumber: Solusi

Wednesday, September 2, 2009

Simpanan Percuma Untuk Pendidikan Anak


Anak-anak adalah permata hati kedua ibu bapanya.. juga mungkin permata hati orang sekeliling, atuk, nenek, pakcik, makcik.. Tetapi, bagaimanakah agaknya masa depan anak-anak kita sekiranya kita tiada lagi pada usia anak-anak kita masih lagi mentah, atau mungkin terlalu kecil tanpa kasih sayang ibu atau ayah? Adakah orang-orang sekeliling mampu menggantikan kita sebagai ibu? Sebagai ayah?

Persoalan ini adalah persoalan yang agak subjektif. Terdapat keluarga yang aku kenali, anak-anak saudara adalah sama ibarat anak-anak sendiri. Peralatan serta keperluan sekolah disediakan, apa saja makanan kegemaran dibelikan. Tetapi agaknya berapa ramaikah golongan yang seperti ini ada di muka bumi ini?

Pada situasi seperti ini, amat lah sangat perlunya kita untuk membuat simpanan pendidikan awal untuk anak-anak kita. Takaful membantu membuat simpanan secara percuma sekiranya berlaku 3 musibah ke atas diri kita iaitu;

1. meninggal dunia
2. hilang upaya kekal
3.sakit kritikal

Seolah-olahnya, anak-anak yang ditinggalkan ada 'penjaga', tiada kerisauan sekiranya di masa hadapan anak-anak ingin melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.

Jadi, bertindaklah sekarang demi masa depan anak-anak kita yang lebih terjamin............

Tuesday, September 1, 2009

"Berubah kepada Islam untuk Membendung Virus"

Satu artikel yang agak menarik daripada majalah Solusi, walaupun tidak dinafikan sebenarnya kesemua topik dan artikel dlm majalah ni semua best..

Selain daripada topik hangat sekarang H1N1, wabak yang disentuh dalam artikel ini sebenarnya wabak dari segi lain.. Lain?

"Jom kita renung sejenak wabak yang menular dalam kalangan masyarakat kita sejak sekian lama tetapi tidak pernah diterjemahkan dengan statistik jangkitan dan kematian. Wabak yang dimaksudkan ialah dosa riba."

"Kita kurang pasti berapa ramai telah dijangkiti dan berapa ramai pula telah meninggal dunia bersama dosa riba. Malangnya kita tiada satu sistem penggera yang memberi amaran sekiranya seorang Muslim melanggan instrumen kewangan yang terdapat unsur riba. Selain daripa pengharaman riba dan hukumnya (rujuk surah Al-Baqarah: ayat 275,278 dan 279), riba adalah dalam kategori yang amat besar dosanya."

.............."Seperti Berzina dengan Ibu Bapa Sendiri"....................Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: "Riba mempunyai 73 pintu, riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.............." riwayat Ibn Majah, 2/764; Al-Hakim, 2/37)..

Ya Allah Ya Tuhanku... Jauhilah aku, suamiku, kaum keluargaku serta sahabat handaiku serta umat muslimin seluruhnya daripada dosa riba ini...amin Ya Allah..


Keputusan Fatwa Muzakarah Jaw. Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Insuran nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insuran yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad kerana aqadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu;

a. Mengandungi gharar (ketidak-tentuan)
b. Mengandungi unsur judi.
c. Mengandungi muamalah riba.


Oleh : Persidangan ke 16
Tarikh Keputusan : 15 Feb 1979
Tarikh Muzakarah : 15 Feb 1979 hingga 16 Feb 1979


RIBA


Arahan Jauhi Riba

MELIHAT kepada situasi hari ini, semakin mudah untuk seseorang itu terlibat dengan amalan riba. Bank-bank dan syarikat-syarikat insurans konvensional mengamalkan riba dalam transaksi harian mereka.

Apabila individu mendapatkan pinjaman daripada bank-bank konvensional atau membeli produk-produk insurans daripada syarikat insurans konvensional, secara automatik individu tersebut akan terlibat dengan amalan riba.

Riba jika dilihat dari segi istilah bermaksud mengambil atau mengenakan tambahan ke atas harta atau nilai pokok atau modal secara batil. Ada beberapa pendapat dalam penjelasan makna riba.

Secara umumnya riba boleh disimpulkan sebagai pengambilan tambahan, baik dalam transaksi jual beli mahupun pinjam-meminjam secara batil yang bertentangan dengan prinsip muamalat Islam.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang maksud-Nya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu...(an-Nisaa': 29)

Di dalam al-Quran, perkataan riba ini diulang lapan kali di dalam empat surah iaitu surah al-Baqarah, ali-'Imran, An-Nisaa' dan Ar-Rum.

Ini menunjukkan bahawa pengharaman riba itu diturunkan secara berperingkat-peringkat seperti juga pengharaman arak kepada manusia.

Dalam Surah Ar-Rum ayat ke-39, Allah SWT telah menerangkan unsur negatif yang terdapat dalam riba. Riba itu tidak dapat memberikan apa-apa faedah sekalipun di sisi Allah SWT.

Sebaliknya, orang yang mengeluarkan zakat itulah yang akan dilipat-gandakan pahalanya serta mendapat keredaan Allah SWT. Inilah teguran pertama daripada Allah SWT kepada pengamal riba.

Riba telah disepakati oleh seluruh ulama akan pengharamannya dan ia juga diharamkan oleh semua agama. Allah SWT melaknat mereka yang melibatkan diri dengan riba.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Rasulullah melaknat pemakan riba, pemberinya, dua orang saksinya dan juru tulisnya". (riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, An Nasa'i dan Ibn Majah)

Riba adalah salah satu dosa besar. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Jauhilah tujuh dosa besar, Syirik, Sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina (tanpa saksi adil). (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Terlibat dengan riba menjadi sebab mendapat kemurkaan Allah SWT. Pemakan dan pemberi riba sebenarnya mereka memerangi Allah SWT dan Rasul-Nya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya. (al-Baqarah: 278)

Al Qurtubi menyebut bahawa tiada dosa yang lebih buruk dari riba sehinggakan Allah SWT sendiri begitu tegas di dalam firman-Nya dengan mengisytiharkan perang.

Setiap manusia mempunyai kehormatan diri yang sangat tinggi termasuklah dalam soal hartanya. Tidak wajar mencabuli harta yang dimilikinya kerana ia dikira mencabul kehormatannya. Riba adalah salah satu bentuk pencerobohan ke atas harta orang lain secara batil.

Sebagai contoh dalam pinjaman, sebarang pertambahan ke atas nilai pokok yang diberikan dianggap sebagai mendapatkan habuan tanpa ada susah payah malah diperolehinya di atas kesusahan orang lain.

Oleh itu Islam mengharamkan riba untuk menjaga maruah seseorang daripada sewenang-wenangnya dicerobohi.

Islam sangat menggalakkan sifat tolong menolong di antara satu sama lain. Firman Allah yang bermaksud: ...dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah... (al-Maidah: 2)

Falsafah di sebalik pinjaman dalam Islam ialah untuk memenuhi keperluan seseorang yang dalam kesusahan, memupuk semangat tolong menolong dan untuk menyuburkan kasih sayang di antara satu sama lain.

Dengan mengenakan caj tambahan yang kadangkala berganda-ganda melenyapkan nilai-nilai mulia ini malah dengan amalan riba ini telah menyuburkan sikap mengeksploitasi dan menindas golongan yang sedang dalam kesusahan.

Akhirnya lahirlah manusia yang tamak, mementingkan kepentingan sendiri dan menjadi hamba kepada harta.

Islam mengharamkan riba kerana ia bercanggah dengan fitrah kehidupan manusia di mana setiap individu perlu menjadi anggota atau unsur kepada produktiviti. Akan tetapi menerusi amalan riba ini menyebabkan manusia menjadi malas untuk berusaha dan hanya memikirkan bagaimana hendak melipatgandakan keuntungan di atas keringat orang lain.

Akhirnya harta tidak berkembang dan hanya berlegar di kalangan orang-orang kaya sahaja. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan) dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda. (al-Rum: 39)

Riba juga akan membuka pintu keburukan dan menghilangkan keberkatan harta serta kehidupan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa". (riwayat Ahmad)

Pengamal riba dikira telah melakukan dosa zina ibu bapa sendiri seperti sabda Rasulullah SAW: "Riba mempunyai 73 pintu, riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya..." (riwayat Ibn Majah dan Al-Hakim)

Riba itu boleh terjadi dalam dua keadaan iaitu semasa berjual beli ataupun berhutang. Dalam perbahasan kitab fikah ia disebut sebagai Riba Buyu' (riba dalam jual beli) dan Riba Duyun (hutang).

Riba Buyu' adalah berlaku pertukaran barangan ribawi yang berbeza dari segi kuantitinya seperti menukarkan 1 kilogram (kg) beras jenis A dengan 2 kg beras jenis B atau berlaku penangguhan dari sudut masa seperti membeli emas secara hutang. Dalam konteks semasa riba jenis ini boleh berlaku sebagai contoh dalam urusniaga mata wang asing (forex).

Barangan ribawi ialah medium pertukaran seperti emas, perak, mata wang dan makanan asasi seperti beras, gandum dan sebagainya. Jual beli yang melibatkan barangan ribawi ini hendaklah mematuhi syarat yang ditetapkan agar tidak berlaku transaksi riba seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda: Emas hendaklah dibayar dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tepung dengan tepung, kurma dengan kurma, garam dengan garam, bayaran harus dari tangan ke tangan (tunai). Barang siapa memberi tambahan atau meminta tambahan, sesungguhnya ia telah berurusan dengan riba. Penerima dan pemberi itu sama-sama bersalah. (riwayat Muslim)

Riba Duyun adalah riba yang berlaku dalam urusan pinjam meminjam, iaitu apa-apa penambahan ke atas amaun pokok sama ada penambahan tersebut dijanjikan oleh peminjam atau ditetapkan oleh pemberi pinjam semasa akad atau semasa apabila telah berlaku default.

Sebagai contoh, seseorang memberi pinjam kepada sahabatnya RM10,000. Semasa beliau memberikan wang tersebut beliau menetapkan kepada sahabatnya supaya membayar lebih RM500 ke atas nilai pokok tersebut daripada awal lagi atau mengenakan caj sebanyak lima peratus jika sahabatnya gagal membayar ansuran atau sahabatnya berjanji untuk membayar lebih sebanyak RM300.

Semua senario ini adalah contoh mudah senario transaksi Riba Duyun dalam pinjaman. Riba jenis ini banyak berlaku di bank-bank konvensional masa kini seperti pinjaman dalam membeli kereta, membeli rumah, pinjaman peribadi dan sebagainya.

Berdasarkan hujah-hujah yang diberikan sama ada daripada ayat-ayat al-Quran, as-Sunnah dan praktis semasa bank-bank dan syarikat-syarikat insurans konvensional pada hari ini, ia menunjukkan amalan riba membawa kepada lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada individu mahu pun ahli keluarga mereka.

Justeru, sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab serta mementingkan keadilan dalam setiap perkara, seharusnya kita mempromosikan perbankan Islam dan produk-produk yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat Takaful, sebagai alternatif dan jalan penyelesaian daripada terlibat dengan amalan riba.

Sekurang-kurangnya, kita telah berusaha untuk memberi jalan keluar kepada masyarakat daripada terus bergelumang dengan amalan riba yang sememangnya dilaknat oleh Allah SWT.

Utusan Malaysia

Wan Jemizan


Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com and Ford Cars. Powered by Blogger