Thursday, September 3, 2009

Ilmu Ikhlas

"Mari kuajarkan kamu tentang ikhlas," kata seorang guru kepada muridnya.

"Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya."

"Tak payah, bawa sahaja karung guni."

"Karung guni?" soal anak muridnya, seperti tidak percaya.

"Mari kita ke pasar!"

Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.

"Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu,"kata guru itu memberi arahan.

Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.

"Cukup?"

"Belum. Isi sampai penuh karung guni itu."

Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa. Berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar.

"Tuan guru, kita tidak beli apa-apa?"

"Tidak. Bukankah karung gunimu telah penuh?"

"Ya, ya...." kata si murid, agak kelelahan.

"Banyak beli barang," tegur seorang kenalan apabila melihat mereka dengan guni yang kelihatan berat itu.

"Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya! Banyak sungguh barang yang mereka beli,"kata seseorang .

"Agaknya, mereka hendak buat kenduri besar kot, "kata yang lain pula.

Sebaik kembali ke tempat tinggal mereka, si murid meletakkan guni yang penuh berisi batu-batu tadi. "Oh, letih sungguh.... apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni tuan guru?"

"Tak buat apa-apa."

"Eh, kalau begitu letih sahajalah saya, "balas anak murid.

"Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas."

"Ikhlas?" Si murid kehairanan.

"Kamu dah belajar apa akibatnya tidak ikhlas dalam beramal."

"Dengan memikul batu-batu ini?"

"Ya, batu-batu itu umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan, tetapi hanya batu-batu."

"Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?"

"Ya, hanya berat sahaja yang ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat, hanya penat."

"Ya, sekarang saya faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas!" ujar sang murid.

Pengajaran: Ramai manusia tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian. Padahal kata-kata pujian hakikatnya hanya menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka. Rugi benar orang yang tidak ikhlas, terseksa di dunia, terseksa di akhirat.

Sumber: Solusi

0 comments:


Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com and Ford Cars. Powered by Blogger