Sunday, March 8, 2009

Kajian sains: Solat rawat penyakit kritikal

HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati
setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu
meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Prof Dr Wan Abu Bakar bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok dengan buku mengenai rahsia solat dari segi sains.

Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu
sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat
apabila selalu digunakan.
Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan
tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

"Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,"katanya.

Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika
dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif
terhadap tubuh.

Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenal pasti otot yang aktif ketika solat.

Ng Siew Chok - Isyarat Otak

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif.
Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas
elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit
kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalogr aphy) digunakan
untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

"Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang
dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa
(8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang," katanya

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian
yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.
"Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri
seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat.
Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah
tamakninah," katanya.
Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada

dalam keadaan tenang.
Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.
Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu
menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang
perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.
Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi
tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang
menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding
pengambilan darah.

"Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara
ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai
status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai
penyakit kritikal lain,� katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi
tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima
kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk
dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara
sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik. Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat
berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat
secara bersendirian.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasullullah
bersabda: Sesungguhnya solat berjemaah adalah 27 kali ganda lebih afdal
daripada solat bersendirian. . (Riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim).

"Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat
bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat,
cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya
meneutralkan cas tubuh.
"Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat.
Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan
mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas
negatif,"katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang..

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.
Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan
selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati
keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran
lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat
mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh
melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai
gerakan solat.
Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan
ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang
belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi
solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit
pinggangnya berkurangan.

"Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang
bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung.
Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman
sama seperti gerakan solat,"katanya. .

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi
(ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang
lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali
penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200
peratus.

"Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar
melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung,
tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan
solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap
normal,"katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat
sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12
rakaat atau kira-kira 30 minit

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian
pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama
ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung
paling rendah adalah ketika berbaring.
"Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring.
Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus," katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih
meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat
sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana
boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk
melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan
senaman selama 30 minit setiap hari.-end-

(Artikel ini dipetik daripada tulisan Ziauddin Sharuddin
dalam laman web berita harian, untuk panduan dan rujukan umat Islam
berhubung manfaat dan fadhilat solat )

0 comments:


Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com and Ford Cars. Powered by Blogger